JOHOR PERKUKUH BAKAT DIGITAL BUKA PELUANG MASA HADAPAN

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengetuai delegasi Kerajaan Johor dalam lawatan penanda aras ke Digital Penang bagi meneliti pendekatan pembangunan ekonomi serta bakat yang dilaksanakan di Pulau Pinang. | Foto FB Dr. Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda pembangunan bakat digital menerusi lawatan penanda aras ke Digital Penang bagi meneliti pendekatan memperkasa ekosistem ekonomi berasaskan teknologi serta modal insan.
Lawatan berkenaan turut memberi pendedahan mengenai pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Digital (DEMP) 2025-2030 yang menggabungkan empat komponen utama meliputi aspek Kerajaan Digital , Ekonomi Digital, Masyarakat Digital serta Asas Digital.
Antara aspek yang diberi perhatian termasuk pembangunan bakat, inovasi dan syarikat pemula niaga, pendigitalan perusahaan, literasi serta pengukuhan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
Turut dikongsikan adalah pelaksanaan 42 Penang, satu pendekatan pembangunan bakat digital yang memberi perspektif terhadap usaha membangunkan kemahiran masa hadapan selaras dengan keperluan industri.
Sebagai langkah susulan, input dan amalan terbaik daripada lawatan berkenaan akan diteliti bersama Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) khususnya dalam menyelaras agenda pendigitalan, pendidikan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar lebih responsif kepada keperluan industri.
Usaha berkenaan penting bagi mempersiapkan anak Johor untuk merebut peluang pekerjaan baharu yang bakal berkembang menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) selain menyokong perancangan Majlis Digital Negeri Johor yang sedang diperincikan.
Dalam kerangka Agenda Maju Johor 2030, pertumbuhan ekonomi, kemajuan digital dan pembangunan modal insan perlu bergerak seiring bagi memastikan generasi negeri ini mempunyai kemahiran, keupayaan serta keyakinan untuk mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengetuai delegasi Kerajaan Johor dalam lawatan penanda aras ke Digital Penang bagi meneliti pendekatan pembangunan ekonomi serta bakat yang dilaksanakan di Pulau Pinang.
#JohorSafeZone
#JohorDigital
#BakatDigital
#JTDC
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



