JOHOR PERKUKUH USAHA PASTIKAN SEKOLAH KEKAL SELAMAT, BEBAS GEJALA BULI

Kerajaan Johor terus komited memperkukuh usaha memastikan setiap sekolah di negeri ini kekal selamat, kondusif dan bebas daripada sebarang bentuk gejala buli. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan terus memperkukuh usaha bagi memastikan setiap sekolah di seluruh negeri ini kekal sebagai persekitaran yang selamat, kondusif dan bebas daripada sebarang bentuk gejala buli demi menjamin kesejahteraan serta perkembangan murid secara menyeluruh.

 

Semua pihak pengurusan sekolah di negeri ini juga diseru sentiasa berwaspada, peka dan mengambil langkah proaktif terhadap sebarang petanda atau aduan berkaitan gejala buli, selain memperkukuh pemantauan berterusan bagi memastikan setiap insiden berkaitan isu ini akan dapat dikesan dan ditangani dengan segera.

 

Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan terus memperkukuh usaha pencegahan menerusi pelaksanaan intervensi secara berterusan, termasuk memperkasakan pendidikan nilai murni.

 

Ia termasuk usaha memperhebat program kesedaran anti-buli serta memperkukuh peranan guru, kaunselor, ibu bapa dan komuniti, jelas YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

Selain itu, pemantauan di peringkat sekolah juga perlu sentiasa diperkasakan agar sebarang bentuk buli sama ada secara fizikal, verbal, psikologi mahupun siber tidak dipandang ringan dan ia perlu diberikan perhatian serta tindakan sewajarnya.

 

Terdahulu, Kerajaan Johor memandang serius insiden buli yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah menengah di Ampang Jaya, Selangor, serta menegaskan sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat untuk murid menimba ilmu, membina sahsiah dan mengembangkan potensi diri.

 

#JohorSafeZone
#HentikanBuli
#SekolahSelamat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor