PELABURAN RM900 JUTA LONGDA PACU EKOSISTEM INDUSTRI BERNILAI TINGGI JOHOR

YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, mengadakan lawatan ke Longda Superalloy di Tanjung Langsat bagi meninjau operasi, perkembangan pelaburan serta perancangan syarikat dalam memperkukuh kehadirannya di Johor. | Foto FB Lee Ting Han

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pilihan pelabur global menerusi kemasukan pelaburan strategik bernilai tinggi yang mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Komitmen ini diterjemahkan menerusi pelaburan Longda Superalloy dari China berjumlah RM900 juta sejak syarikat berkenaan memulakan operasi di Tanjung Langsat pada tahun 2023 yang mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Pelaburan tersebut mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan yang stabil, strategik dan berdaya saing selaras dengan usaha Kerajaan Negeri membangunkan ekosistem industri yang lengkap serta bernilai tinggi.

 

Longda Superalloy memainkan peranan penting di peringkat hulu (upstream) menerusi pengeluaran ‘superalloy’ iaitu bahan berprestasi tinggi yang digunakan dalam industri strategik seperti aeroangkasa, semikonduktor, tenaga, automotif dan pembuatan berteknologi tinggi.

 

Kehadiran pemain industri di peringkat hulu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri peringkat pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream) sekali gus melengkapkan rantaian nilai industri Johor, meningkatkan daya saing negeri serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.

 

Pendekatan ini selaras dengan Agenda Maju Johor 2030 yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan baharu, malah membangunkan keseluruhan rantaian industri bernilai tinggi supaya manfaat ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh dan mampan oleh Bangsa Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, mengadakan lawatan ke Longda Superalloy di Tanjung Langsat bagi meninjau operasi, perkembangan pelaburan serta perancangan syarikat dalam memperkukuh kehadirannya di Johor.

 

#JohorSafeZone
#LongdaGroup
#PelaburanJohor
#Superalloy
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor