JOHOR SELESAI 99.23 PERATUS HAK MILIK TANAH PENEROKA

Kerajaan Johor berjaya menyelesaikan 99.23 peratus urusan hak milik tanah peneroka FELDA, melibatkan 27,642 permohonan dengan 27,429 peneroka telah menerima hak milik masing-masing hasil kerjasama PTG Johor, Pejabat Tanah Daerah dan FELDA, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu berpanjangan ini. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor berjaya menyelesaikan 99.23 peratus urusan berkaitan hak milik tanah yang melibatkan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di negeri ini, hasil kerjasama berterusan antara Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor, Pejabat Tanah Daerah serta FELDA.

 

Daripada jumlah keseluruhan 27,642 permohonan yang diterima, seramai 27,429 peneroka telah berjaya menerima hak milik tanah masing-masing, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu berkenaan yang telah lama membelenggu warga FELDA.

 

Selain itu, turut diberi perhatian ialah isu pemilikan perumahan generasi kedua FELDA dan bagi memastikan mereka mempunyai kedudukan hidup yang lebih terjamin, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan 10,663 permohonan atau 86 peratus daripada 12,392 permohonan keseluruhan yang diterima.

 

Daripada jumlah itu, seramai 7,915 pemohon telah berjaya menerima geran hak milik, manakala baki 2,748 pemohon yang telah diluluskan kini berada dalam proses tindakan melalui pengeluaran Notis 5A.

 

Pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Johor dalam memastikan kebajikan peneroka serta generasi FELDA terus terpelihara, selain memastikan mereka turut menikmati pembangunan negeri dengan hak dan masa depan yang lebih terjamin.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab perkara berkaitan status hak milik tanah peneroka dan pemilikan perumahan generasi FELDA pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#FELDA
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor