JOHOR TAMBAH PERUNTUKAN RM5 JUTA BAIK PULIH KUARTERS PDRM MUAR

Kerja-kerja menaik taraf dan pembaikan Kuarters PDRM Parit Perupok. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih dan menaik taraf Kuarters Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Parit Perupok di Muar bagi memastikan kebajikan dan keselesaan anggota keselamatan dan keluarga mereka terus terbela.
Peruntukan tersebut akan melibatkan kerja pembaikan menyeluruh ke atas empat blok kuarters iaitu Blok G2 hingga G5 yang menempatkan keluarga anggota PDRM di kawasan berkenaan.
Tinjauan yang dilaksanakan sebelum ini mendapati kuarters tersebut berdepan dengan pelbagai kerosakan yang telah lama membelenggu penghuni sehingga menjejaskan aspek keselamatan dan keselesaan kediaman mereka.
Susulan itu, Kerajaan Negeri sebelum ini telah meluluskan peruntukan awal sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan pada Mac lalu, sebelum tambahan sebanyak RM4 juta dibuat selepas mendapati tahap kerosakan adalah lebih serius melibatkan bumbung, struktur bangunan, sistem pendawaian elektrik, paip serta kemudahan asas lain.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Johor terhadap kebajikan anggota pasukan keselamatan yang memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini walaupun ia bukan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri juga mengambil pendekatan menyeluruh dengan bekerjasama bersama agensi berkaitan serta terus memainkan peranan sewajarnya dalam membantu menyelesaikan isu yang memberi kesan kepada kesejahteraan Bangsa Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor berkesempatan meninjau perkembangan kerja-kerja menaik taraf dan pembaikan Kuarters PDRM Parit Perupok, baru-baru ini sebagai lawatan kerja susulan yang telah dilaksanakan ke daerah Muar pada Mac lalu.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


