DEWAN NEGERI JADI KOMPAS PENTADBIRAN DAN KEMAJUAN JOHOR

Wakil rakyat yang dipilih akan menjadi sebahagian daripada anggota Dewan Negeri Johor (DUN) yang berperanan meluluskan dasar, membahaskan isu berkepentingan awam serta menentukan keutamaan pembangunan negeri. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Setiap kali tibanya Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baharu, ia bukan hanya berkisar tentang soal pemilihan wakil rakyat semata-mata, tetapi turut mencakupi perkara yang lebih besar iaitu siapakah yang akan membentuk Kerajaan Negeri yang akan memimpin Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

 

Ku Hasnan Ku Halim, penganalisis politik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), berpandangan bahawa pemilihan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor bagi penggal baharu mempunyai implikasi yang jauh lebih besar kerana ia turut menentukan komposisi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab merangka dasar serta hala tuju pembangunan Johor.

 

Wakil rakyat yang dipilih akan menjadi sebahagian daripada anggota Dewan Negeri Johor (DUN) yang berperanan meluluskan dasar, membahaskan isu berkepentingan awam serta menentukan keutamaan pembangunan negeri.

 

Menerusi institusi tersebut, pelbagai keputusan berkaitan ekonomi, pembangunan sosial, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat dibincangkan sebelum diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan pentadbiran.

 

Keputusan yang dibuat turut memberi kesan kepada pembangunan kawasan, penyediaan kemudahan awam dan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh Johor tanpa terkecuali.

 

Dalam keadaan Johor yang kini berkembang pesat menerusi pelbagai projek strategik dan kemasukan pelaburan berimpak tinggi, keupayaan Kerajaan Negeri untuk merancang pembangunan secara berkesan menjadi semakin penting.

 

Justeru, setiap undi yang diberikan oleh rakyat amat mustahak dalam menentukan corak pentadbiran yang akan membentuk hala tuju negeri dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan pembangunan.

 

Ku Hasnan berkata, pemilihan ADUN bukan sekadar memilih individu untuk mewakili kawasan, sebaliknya turut menentukan Kerajaan Negeri yang akan mengurus dan memacu pembangunan Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

 

#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohor
#PRUDNJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor