KERAJAAN JOHOR SANGKAL DAKWAAN ISU SURAT RASMI MBIP GUNA BAHASA CINA

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menangkis dakwaan yang cuba mengaitkan pentadbiran semasa dengan isu surat rasmi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang menggunakan bahasa Cina, susulan tular semula dokumen lama berkenaan pentadbiran sebelum ini di media sosial.
Semakan mendapati surat yang tular kembali itu bukan satu isu baharu dan ia telah berlaku pada tahun 2018, malah dokumen yang tular itu turut memaparkan penglibatan Cheo Yee How bekas Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) Perling ketika itu dalam program berkaitan.
Justeru, cubaan untuk menggambarkan seolah-olah penggunaan bahasa Cina dalam surat rasmi berkenaan berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Johor hari ini adalah tidak berasas sama sekali dan mengelirukan, jelas YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
Susulan insiden yang berlaku pada tahun 2018 itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor telah bertitah dengan tegas supaya segala urusan surat-menyurat rasmi melibatkan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, Kerajaan Negeri sentiasa komited memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua urusan pentadbiran kerajaan serta PBT, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan titah Institusi Raja-Raja Melayu.
Kerajaan Johor turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan semula maklumat lama tanpa konteks yang tepat kerana boleh menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
#JohorSafeZone
#MBIP
#BahasaMelayu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


