KLUANG TERIMA PROJEK RTB BAHARU BERNILAI RM10 JUTA

Secara keseluruhan, projek RTB yang sedang rancak dilaksanakan ini dijangka berupaya menyelesaikan isu banjir yang telah berlarutan sekian lama di daerah Segamat, Muar, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kluang, sekali gus meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup Bangsa Johor, khususnya di daerah berkenaan. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda mitigasi banjir di Johor terus dizahirkan apabila daerah Kluang menerima satu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) baharu di Sungai Mengkibol, Mukim Kluang yang bernilai RM10 juta.

 

Projek yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada tahun 2025 itu bakal menambahkan lagi ikhtiar Kerajaan Johor dalam menangani isu banjir khusus di daerah Kluang.

 

Sejak tahun 2022 hingga tahun 2025, Johor telah menerima sebanyak 21 projek RTB dengan nilai keseluruhan mencecah RM2.4 bilion yang dijangka siap secara berperingkat bermula pada tahun 2027, sekali gus bakal memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Johor.

 

Antara projek lain yang dilaksanakan termasuk RTB Sungai Muar Fasa 3 (Pakej 1 dan 2); RTB Lembangan Sungai Muar Fasa 2; RTB Lembangan Sungai Kesang serta RTB Sungai Chaah yang memberi tumpuan kepada mitigasi bencana di daerah Muar dan Segamat.

 

Selain itu, bagi daerah Kota Tinggi pula, pelaksanaan RTB Sungai Johor Fasa 1 (Pakej 1 dan 2) serta RTB Sungai Pemandi, selain projek RTB Bandar Batu Pahat, RTB Sungai Batu Pahat serta usaha memperkukuh struktur dan fasiliti Empangan Sembrong di daerah Batu Pahat.

 

Secara keseluruhan, projek RTB yang sedang rancak dilaksanakan ini dijangka berupaya menyelesaikan isu banjir yang telah berlarutan sekian lama di daerah Segamat, Muar, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kluang, sekali gus meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup Bangsa Johor, khususnya di daerah berkenaan.

 

Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#RancanganTebatanBanjir
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor