KPKT BERI TUMPUAN PEMBINAAN DUA PPR DI JOHOR TAHUN DEPAN


 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah merasmikan Program Hari Sukan Negara Rumah Pangsa Larkin, Johor Bahru, hari ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberikan tumpuan kepada penyediaan dua Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini, iaitu di Larkin dan Kluang pada tahun hadapan, kata Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

Perbincangan antara KPKT bersama Kerajaan Negeri mengenai penyediaan PPR Larkin yang dipersetujui dalam Belanjawan 2023 telah diadakan dan kerja awalan di tapak akan bermula pada tahun hadapan.

 

Manakala PPR Kluang pula merupakan projek yang pernah dicadangkan sebelum ini, dan telah dipersetujui Kerajaan Persekutuan untuk kembali diteruskan penyediaannya sebagai projek PPR baharu bagi tahun hadapan.

 

“Insya-Allah kita ada dua (PPR) yang akan kita tumpukan iaitu di Larkin dan juga yang kedua di Kluang,” kata Akmal Nasrullah ketika ditemui pada Program Hari Sukan Negara Rumah Pangsa Larkin, Johor Bahru, hari ini.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah; Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed serta Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman.

 

Semalam, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM546 juta disediakan bagi meneruskan 36 PPR termasuk satu projek baharu di Kluang dalam Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor