MAINJ NAFI BUKA PERMOHONAN BAKUL MAKANAN MENERUSI TALIAN TELEFON


Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menafikan permohonan bakul makanan melalui dalam talian panggilan telefon yang sedang tular di media sosial / Gambar Ihsan Majlis Agama Islam Negeri Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menafikan permohonan bakul makanan melalui dalam talian panggilan telefon yang sedang tular di media sosial.

MAINJ dalam kenyataan di media sosial rasminya menjelaskan talian panggilan telefon terbabit sebenarnya hanya terpakai ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 pada 2021 sahaja.

Bagaimanapun, MAINJ dalam kenyataan sama menjelaskan pihak berkuasa agama itu sentiasa komited dan akan terus membantu golongan asnaf yang berkelayakan dan memerlukan.

Malahan MAINJ juga turut menyediakan pelbagai saluran yang sah sama ada melalui kaedah atas talian (online) atau kaunter fizikal yang terdapat di seluruh negeri Johor bagi membolehkan golongan berkenaan membuat permohonan sebelum diberikan bantuan sewajarnya.

Selain itu, MAINJ juga turut melaksanakan program Dapur Asnaf di setiap daerah bagi membantu meringankan beban keperluan asnaf di negeri Johor.

Justeru, orang ramai diminta tidak terpedaya dengan laporan palsu berkenaan dan hanya mendapatkan maklumat sahih di laman sesawang serta laman media sosial rasmi MAINJ.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor