MB IRINGI MENTERI KDN TINJAU OPERASI BSI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), hari ini | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), hari ini.

 

Beliau memaklumkan akan ada berita dan perkembangan yang akan diumumkan oleh menteri susulan daripada lawatan yang telah berlangsung pada jam 4.45 pagi itu.

 

Selain itu, Onn Hafiz turut memaklumkan kerjasama dan bantuan Kerajaan Persekutuan penting untuk memastikan kelancaran operasi seharian di dua KIK di negeri ini, berikutan sempadan di Johor antara tersibuk di dunia.

 

“Untuk makluman, sebanyak 284 kaunter di KIK BSI telah memproses kemasukan 22,415,312 orang pengembara dan 25,276,135 orang (keluar) pada tahun 2022.

 

“Manakala 169 kaunter di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pula telah memproses sejumlah 12,022,701 orang (masuk) dan 10,479,880 orang (keluar) bagi tahun yang sama,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya..

 

Beliau turut memaklumkan telah bersama agensi berkaitan melakukan turun padang bagi melawat kedua-dua KIK bagi menyelesaikan isu berbangkit selepas pembukaan semula sempadan negara pada April tahun lalu.

 

Ujar Onn Hafiz, proses penggabungan kaunter Jabatan Imigresen Malaysia dan pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS Malaysia Berhad) di KIK BSI juga sedang giat dijalankan untuk memendekkan masa berurusan dan memberi keselesaaan kepada pengembara.

 

“Ini termasuk membaiki eskalator utama di KIK BSI yang sudah lama tidak beroperasi sejak pandemik COVID-19, menambah baik sistem autogate pass serta pendawaian sekeliling KIK BSI, melaksanakan penggabungan kaunter serta mengadakan Lorong MBike yang lebih efisien untuk kemudahan pemandu motosikal.

 

“Meskipun banyak isu telah diselesaikan di kedua-dua KIK ini, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

 

Sementara itu, Saifuddin memberitahu lawatannya ke KIK BSI adalah bagi melihat sendiri pergerakan lalu lintas rakyat yang menggunakan laluan tersebut.

 

“Laluan Tambak Johor seringkali sesak ditambah dalam waktu-waktu tertentu yang menyukarkan rakyat. Saya akan kongsikan beberapa langkah awal yang akan diambil bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan yang boleh menyumbang kepada kelancaran pergerakan di Tambak Johor sewaktu sidang media nanti,” kata beliau dalam Facebook rasminya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor