PANDUIT CORP LABUR RM160 JUTA BUKA FASILITI DI SENAI


YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menyempurnakan perasmian pembukaan fasiliti pertama Panduit Malaysia Sdn. Bhd. di Senai Airport City, Senai.

 

Peneraju penyelesaian infrastruktur elektrik dan rangkaian global, Panduit Corporation membuka fasiliti pembuatan produk pengikat kabel berkualiti terkini di Senai melibatkan pelaburan berjumlah RM160 juta yang bakal menyediakan 200 peluang pekerjaan kepada Bangsa Johor.

 

Keputusan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat beroperasi di Negeri Johor menjadi bukti kelebihan dimiliki negeri ini seperti kedudukannya yang strategik, infrastruktur asas dan teknologi yang teguh, kumpulan bakat yang pelbagai serta peranan sebagai hab untuk pasaran Asia Tenggara.

 

Menerusi pelaburan Panduit Corporation diluluskan di bawah inisiatif Kulai Fast Lane (KFL), Kerajaan Negeri berkeyakinan ia akan meningkatkan lagi reputasi negara ini dan Negeri Johor sebagai destinasi pelaburan bagi industri pembuatan dan berteknologi tinggi.

 

Justeru, Kerajaan Negeri menyifatkan pembukaan fasiliti pembuatan Panduit Corporation sebagai tepat pada masanya sekali gus akan meningkatkan lagi daya saing Negeri Johor dari segi rantaian bekalan untuk industri pusat data malah menggalakkan syarikat terbabit untuk mengembangkan sayapnya di negeri ini.

 

Terdahulu, YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menyempurnakan perasmian pembukaan fasiliti pertama Panduit Malaysia Sdn. Bhd. di Senai Airport City, Senai.

 

Turut hadir, YBhg. Mohd Fahmi Salam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu); YBhg. Umarani Muniandy, Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); YBhg. Andrew Caveney, Pengerusi Eksekutif Panduit Corporation serta YBhg. Shannon McDaniel, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Panduit Corporation.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor