PASTIKAN INISIATIF KERAJAAN NEGERI SAMPAI KEPADA RAKYAT


Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Kluang 2024. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Turun ke lapangan bertemu rakyat seperti penganjuran Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Kluang 2024 menjadi pendekatan signifikan dan berkesan diambil Kerajaan Negeri untuk memastikan segala inisiatif disediakan sampai ke peringkat akar umbi serta dinikmati oleh Bangsa Johor.

 

Pendekatan seumpama itu bukan sahaja membuka ruang dan peluang kepada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri menyantuni masyarakat terutama golongan belia di setiap daerah malah dapat memastikan tiada yang tercicir daripada menerima manfaat disediakan.

 

Sempena Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Kluang 2024, seramai 724 pencari kerja hadir ke Program Gerak Kerjaya MYFutureJobs @ Kluang 2024 melibatkan penyertaan 15 majikan yang menawarkan pekerjaan dalam sektor pembuatan, peruncitan, perkhidmatan, pemborongan, eko-pelancongan.

 

Di samping itu, turut disampaikan geran peralatan berjumlah RM10,000 daripada Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) kepada Majlis Belia Daerah Kluang serta Bantuan Keusahawanan Johor 2024 @ Kluang melibatkan tujuh agensi berjumlah keseluruhan kira-kira RM2.78 juta kepada 30 penerima.

 

Kesemua agensi berkenaan adalah Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB), Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SIRIM Berhad, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian Negeri Johor serta TEKUN Nasional.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hari ini, hadir ke Program Bubur Lambuk Orang Muda Johor dan Program Gerak Kerjaya MYFutureJobs sempena Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Kluang 2024 di Dataran Tasik Putih dan Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor