PDT TERUS KONGSI REZEKI


Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd (PDT) terus komited melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Mengambil keberkatan Syawal, Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd (PDT) terus komited melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

 

Keprihatinan syarikat pemegang pelaburan negeri itu disifatkan YB Dato’ Ramlee A. Rahman, Ketua Eksekutif PDT sebagai sentuhan kasih dengan berkongsi sebahagian daripada laba ekonomi yang telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri.

 

Sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Permodalan Darul Ta’zim 1445H / 2024M, PDT menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Anwarul Mahabbah Care Centre Johor Bahru serta Pertubuhan Kebajikan Ar-Rayyan.

 

Selain itu, sebanyak RM180,000 disumbangkan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) melalui Tabung Pendidikan Sarjana PDT serta RM100,000 untuk Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Johor.

 

PDT turut menyumbang RM100,000 kepada Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor bagi melaksanakan kursus jangka pendek untuk Pegawai Tadbir Negeri Johor selain RM50,000 untuk Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

 

Sumbangan disampaikan oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. Hadir sama, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Pusat Kelestarian Johor (JSC) serta YB Dato’ Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor