PELABURAN DIALOG GROUP PACU EKONOMI JOHOR


Pengerang Deepwater Terminals yang merupakan kerjasama antara DIALOG dan Kerajaan Negeri sejak tahun 2011. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kedudukan strategik Pengerang terletak di laluan kapal antarabangsa selain permintaan kukuh terhadap ruang penyimpanan minyak menjadikan syarikat terkemuka berkaitan minyak dan gas serta petrokimia, DIALOG Group Berhad (DIALOG) kekal utuh bertapak di Negeri Johor, sejak tahun 2009.

 

Mula bertapak di Tanjung Langsat, DIALOG mengorak langkah melebarkan sayap ke Pengerang yang berhampiran dengan negara jiran, Singapura yang mempunyai komuniti dan terminal perdagangan antarabangsa selain memiliki kedalaman air mencukupi iaitu 24 meter sekali gus membolehkan pengoperasian setiap hari sepanjang tahun.

 

Pembangunan terminal penyimpanan dikenali Pengerang Deepwater Terminals yang merupakan kerjasama antara DIALOG dan Kerajaan Negeri sejak tahun 2011 disifatkan sebagai signifikan yang menjadi ‘turning point’ kepada kemajuan syarikat berkenaan seterusnya menyumbang kepada limpahan ekonomi kepada negeri serta komuniti setempat termasuk peluang pekerjaan.

 

Menerusi pelaburan pembangunan Pengerang Deepwater Terminals telah membuahkan pencapaian membanggakan kepada DIALOG iaitu menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Terminal Penyimpanan Gas dan Minyak Terbesar serta Jeti Kedalaman Terdalam di Malaysia pada tahun 2019.

 

Untuk rekod, secara keseluruhan DIALOG sudah membuat pelaburan berjumlah RM16.2 bilion dan kini mempunyai fasiliti ruang penyimpanan berkapasiti 4.69 juta meter padu melibatkan Terminal 1, 2 dan 3 di Tanjung Langsat selain empat terminal di Pengerang meliputi Fasa 1, 2, 2B dan 3A.

 

Terdahulu, telah berlangsungnya Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Pengerang Marine Operations Sdn. Bhd. (PMOSB), anak syarikat DIALOG di Pusat Operasi Marin di Kampung Sungai Kapal, Pengerang. Pada majlis berkenaan turut disampaikan penghargaan dan kenaikan pangkat kepada anggota polis bantuan DIALOG yang terlibat misi menyelamat pada tahun lalu.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor