PELAJAR SEKOLAH RINTIS BANGSA JOHOR HARUMKAN NAMA NEGERI DI QATAR

Wan Harriz Wan Abdul Qayyum, murid Tahun Empat Kelas 4 Sapphire, Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), SK Tasek Utara, mengharumkan nama Johor dan Malaysia selepas muncul juara Pusingan Penentuan Kelayakan Hippo English The Contest 2026 di Doha, Qatar. | Foto FB Dr. Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Murid Tahun Empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum mengharumkan nama Johor dan Malaysia apabila muncul juara Pusingan Penentuan Kelayakan Hippo English The Contest 2026 di Doha, Qatar.
Wan Harriz, murid Kelas 4 Sapphire, berjaya mengatasi peserta dari pelbagai negara dalam pertandingan bahasa Inggeris bertaraf antarabangsa yang disertai lebih 90,000 peserta dari lebih 70 negara, sekali gus melayakkan diri ke Pusingan Akhir Dunia yang dijadualkan berlangsung di Spoleto, Itali pada Oktober ini.
Dalam pusingan kelayakan berkenaan, seorang lagi wakil Malaysia, Eshant Ashvik Shashidara dari SK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat kelima.
Hippo English Without Borders merupakan pertandingan bahasa Inggeris antarabangsa yang disertai murid dan pelajar berusia enam hingga 19 tahun, meliputi penilaian kemahiran membaca, menulis, mendengar, bertutur serta tatabahasa selaras dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).
Kejayaan Wan Harriz turut mencerminkan aspirasi SRBJ menerusi Teras 1 yang memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris, di samping membentuk murid yang yakin, berkemahiran komunikasi serta berupaya bersaing di peringkat antarabangsa.
Kerajaan Negeri Johor merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Wan Harriz atas kejayaan membanggakan itu, selain menghargai sokongan ibu bapa, guru dan pihak sekolah yang sentiasa membimbing serta memberi sokongan sehingga beliau berjaya mengharumkan nama Johor dan Malaysia di pentas antarabangsa.
Kejayaan ini diharapkan menjadi pembakar semangat buat Wan Harriz untuk terus melakar kecemerlangan pada Pusingan Akhir Dunia di Itali, sekali gus membawa nama Johor dan Malaysia lebih jauh di pentas dunia.
#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#JohorLeads
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


