PPB UTHM DORONG PELAJAR LUAR BANDAR KUASAI BAHASA INGGERIS


Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa (PPB) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengadakan program khidmat sosial ‘English Language Public Speaking’ bersama pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Ayer Hitam / Gambar Ihsan UTHM.

BATU PAHAT — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Pusat Pengajian Bahasa (PPB) mengadakan program khidmat sosial ‘English Language Public Speaking’ bersama pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Ayer Hitam.

Program berkenaan diadakan bagi memberi peluang kepada penduduk di kawasan luar bandar untuk turut sama terbabit dalam aktiviti yang dilaksanakan oleh UTHM.

Pensyarahnya, Dr Zulida Abdul Kadir, berkata menerusi program sama, pihaknya berharap aktiviti ini secara tidak langsung dapat menjadi pendorong kepada pelajar ini untuk menguasai bahasa Inggeris terutama di luar bandar.

Katanya, sebelum ini kebanyakan program CSR banyak tertumpu di sekolah yang terletak di kawasan bandar sehingga menyebabkan sekolah di luar bandar atau sekolah kurang murid agak kurang diberikan perhatian.

“Pada pertemuan pertama, pelajar ini agak kekok untuk berbahasa Inggeris namun tetap menunjukkan kesungguhan untuk mencuba. Justeru, kita menjalankan sesi penerangan mengenai pengucapan awam ini sepenuhnya dalam bahasa Inggeris bagi mewujudkan suasana ‘English environment’.

“Alhamdulillah, pelajar berkenaan memberikan maklum balas yang baik dengan sebahagian besar pelajar cuba untuk berkomunikasi dalam bahasa berkenaan,” katanya.

Zulida berkata, pada pertemuan kedua pula diadakan untuk melihat persediaan pelajar dalam menghadapi pertandingan yang bakal diadakan.

Katanya, pihak PPB UTHM turut menyumbang cadangan serta khidmat nasihat kepada pelajar berkenaan untuk penambahbaikan bagi memastikan mereka dapat membuat persembahan yang terbaik.

“Pelajar dilihat lebih selesa dan berkeyakinan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris meskipun memerlukan penambahbaikan dari sudut tatabahasa.

“Ramai dalam kalangan pelajar ini dapat melakukannya dengan baik. Walaupun ada juga yang terlupa skrip persembahan, namun disebabkan semangat yang kuat, mereka tetap menyelesaikannya tanpa bantuan teks atau dari rakan yang lain,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor