YAYASAN JCORP PERLUAS INISIATIF SMART FARMING GREENHOUSE KE SELURUH JOHOR

Rumah hijau di SMK Tasek Utara memperkukuh ekosistem Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) menerusi pembelajaran moden yang menggabungkan teori dan amali berteraskan STEM. | Foto Yayasan Johor Corporation
#IskandarPuteri – Komitmen Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) memperkasakan pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diperkukuh menerusi perasmian ‘Smart Farming Greenhouse’ yang kelapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, Johor Bahru.
Pelaksanaan projek rumah hijau oleh Yayasan JCorp dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) ini turut disokong oleh Johor Plantations Group Berhad (JPD) dan Waqaf An-Nur bagi mencerminkan komitmen bersama dalam mengukuhkan pendidikan STEM serta menggalakkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar di seluruh negeri Johor.
Selain itu, projek rumah hijau ini telah memberi peluang kepada pihak sekolah untuk menjana pendapatan melalui penjualan hasil tanaman yang dianggarkan sebanyak RM1,000 bagi setiap kitaran penuaian, dan hasil tersebut digunakan semula untuk pembiayaan aktiviti pelajar serta kos penyelenggaraan berterusan rumah hijau tersebut.
Pembinaan rumah hijau di SMK Tasek Utara, Johor Bahru bertindak sebagai pemangkin utama dalam ekosistem Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang menyediakan prasarana pembelajaran moden dalam membolehkan pelajar mengintegrasikan teori bilik darjah secara terus dengan pengurusan tanaman praktikal, sekali gus memperkasa pendidikan berteraskan STEM.
Program ‘Smart Farming Greenhouse’ itu dilengkapi dengan teknologi didayakan Internet of Things (IoT), ia berfungsi sebagai platform pembelajaran langsung terbaik untuk pelajar melalui automasi dan penderia seperti pengesan suhu atau kelembapan yang mengubah kaedah pertanian tradisional kepada amalan moden berteraskan data.
Melalui modul pembelajaran praktikal, pelajar di seluruh pelusuk negeri termasuk zon utama seperti Johor Bahru, Batu Pahat, dan Segamat kini mendapat pendedahan langsung kepada teknologi pertanian mampan dan memupuk generasi muda agar lebih menghargai alam sekitar serta bersedia menghadapi cabaran masa depan melalui amalan hijau.
Terdahulu, Encik Wan Adlin Wan Mahmood, Ketua Pegawai Komersial Bahagian Komersial dan Kelestarian Johor Plantations Group Berhad hadir menyampaikan ucapan perasmian Smart Farming Greenhouse di SMK Tasek Utara, Johor Bahru. Turut hadir, YB Dato’ Mizan Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp dan Encik Mohamed Khairul Mohamed Amin, Pengetua SMK Tasek Utara.
#JohorSafeZone
#SmartFarmingGreenhouse
#YayasanJCorp
#SRBJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


