ENAKMEN TANAH KESULTANAN MAMPU LINDUNGI HAK ORANG ASLI


Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Salim Aman berkata, pihak jabatan menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas titah agar kawasan penempatan dan rizab Orang Asli diletakkan di bawah Tanah Kesultanan. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

Oleh Aivizanoorwani Shah, Mohd Firdaus Yon, Badrul Kamal Zakaria dan Imran Razib

 

JOHOR BAHRU — Penempatan baharu Orang Asli dicadangkan untuk diletakkan di bawah Tanah Kesultanan bagi mengelak daripada berlakunya eksploitasi terhadap masyarakat pribumi terbabit.

 

Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Salim Aman berkata, pihak jabatan menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas titah agar kawasan penempatan dan rizab Orang Asli diletakkan di bawah Tanah Kesultanan.

 

”Saya menyokong keputusan meletakkan kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah Tanah Kesultanan. Ia bukannya milik peribadi Tuanku. Tetapi sebarang perubahan melibatkan tanah tersebut memerlukan perkenan Tuanku.

 

”Bagi saya, untuk kawasan-kawasan perkampungan baharu ini, biar ia diletak di bawah Tanah Kesultanan dan hanya untuk Orang Asli,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor, semalam.

 

Salim berkata, titah Baginda Tuanku Sultan itu membawa pengertian yang murni sekiranya ditafsir dan difahami dengan maksud sebenar.

 

“Kalau ia ditafsir sebaliknya, memang boleh membawa kepada salah faham dan beranggapan mereka boleh ‘keluar’ (dihalau). Tapi kalau kita fahami dengan teliti, DYMM Tuanku akan menjaga hak Orang Asli untuk mereka menetap di situ dan tidak ada pihak yang akan dapat memanipulasi mereka,” katanya.

 

Salim turut menzahirkan kebimbangan sekiranya masyarakat Orang Asli diperdaya oleh orang luar yang menjadi dalang dan mengambil kesempatan dengan membuka kawasan hutan untuk mengaut keuntungan.

 

“Takut pada kemudian hari, mereka (orang luar) senang-senang akan jual tanah itu dan akhirnya Orang Asli merempat tiada tanah. Tetapi sekiranya sudah diletakkan di bawah Tanah Kesultanan ia akan kekal. Sebagai contoh kawasan di situ hutan simpan kekal, maka ia akan kekal (tanpa mengubah status),” katanya.

 

Beliau juga mengakui berlakunya aktiviti eksploitasi terhadap Orang Asli sehingga memusnahkan khazanah alam dengan berselindungkan hak istimewa dimiliki masyarakat terbabit.

 

”Mereka mendakwa kawasan hutan simpan sebagai tanah adat dan juga kawasan rayau mereka. Malangnya kawasan hutan yang didakwa sebagai tanah adat atau kawasan rayau diteroka bagi tujuan pertanian. Jabatan pada dasarnya tiada halangan untuk kawasan hutan simpan di sekitar kampung mereka dijadikan kawasan rayau bagi Orang Asli.

 

“Tetapi kawasan tersebut perlu kekal berhutan bukan dijadikan kawasan ladang kelapa sawit atau getah. Sekiranya semua tanah hutan simpan yang mereka dakwa sebagai tanah adat dan kawasan rayau ditukar dengan ladang kelapa sawit dan getah, maka akan musnahlah hutan simpan Negeri ini atas alasan tanah adat dan kawasan rayau,” katanya.

 

Selain itu, ujarnya, pencerobohan dalam bentuk penerokaan hutan juga tidak dilakukan secara lestari hingga menyebabkan ekosistem dan biodiversiti terjejas.

 

“Pencerobohan itu dilakukan dengan, pertamanya, mereka ubah hutan itu kepada perladangan getah atau kelapa sawit atau buah-buahan secara tidak langsung menyebabkan kepupusan biodiversiti. Dari segi pokok pula, menyebabkan banyak yang musnah kerana ia (sering menggunakan teknik) tebang dan bakar.

 

“Secara tidak langsung ia menyebabkan habitat haiwan liar terganggu. Hingga akhirnya kampung mereka dimasuki haiwan buas seperti harimau dan gajah berikutan kawasan rayau terganggu,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor