PEMBAIKAN JALAN ROSAK SENAI UNDERPASS DISEGERAKAN


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengarahkan agar kerja pembaikan jalan rosak Jalan Persekutuan FT001 Senai Underpass disegerakan | Sumber Foto Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerja pembaikan jalan rosak Jalan Persekutuan FT001 Senai Underpass diarahkan untuk dilaksanakan segera bermula hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, arahan itu dikeluarkan disebabkan kerosakan jalan terbabit yang semakin teruk akibat air di bawah struktur jalan.

 

“Disebabkan kerja-kerja pembaikan ini melibatkan ‘concrete pavement’, pemasangan ‘subsoil drain’ dan hanya satu lorong boleh ditutup, maka ianya memerlukan tempoh masa yang sedikit panjang untuk disiapkan.

 

“Laluan ini merupakan laluan utama dan pihak JKR Kulai telah melakukan simulasi penutupan jalan, namun keputusannya ialah negatif.

 

“Oleh itu, bagi mengelakkan kesesakan menjadi lebih teruk, hanya satu lorong ditutup dan kerja-kerja pembaikan akan dilakukan hanya pada lorong sebelahnya sahaja,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Mohamad Fazli berkata, kaedah ‘concrete pavement’ yang akan digunakan memerlukan kerja dilakukan 24 jam selama sekurang-kurangnya tujuh hari untuk ketahanan.

 

“Keseluruhan kerja akan melibatkan 23 hari untuk satu lorong 500 meter termasuk pemasangan ‘subsoil drain’ bagi mengelakkan kerosakan berulang akibat air bawah tanah.

 

“Diharapkan pengguna jalan raya di kawasan ini dapat bersabar sepanjang kerja-kerja pembaikan ini dilaksanakan dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kelewatan dalam urusan seharian,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor