EXCO KERAJAAN JOHOR TURUN PADANG LOKASI ADUAN KEROSAKAN


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh turun padang lokasi aduan kerosakan yang merupakan jalan persekutuan FT35 | Sumber gambar Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerosakan jalan di simpang empat Jalan Permas Jaya – Pasir Gudang berdekatan Stadium Tertutup Pasir Gudang, mendapat perhatian segera kerajaan negeri.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh telah melakukan turun padang ke lokasi laporan yang diterima.

 

Menurut beliau, perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan syarikat konsesi Selia Selenggara telah diadakan.

 

“Saya turut menjemput ADUN Permas Jaya, YB Baharuddin bin Mohamed Taib bagi memberikan pandangan serta cadangan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.

 

“Untuk makluman semua, jalan ini merupakan jalan persekutuan FT35 dan pihak JKR Johor Bahru telah memohon peruntukan bagi membaiki jalan ini dan alhamdulillah, peruntukan sebanyak RM1.2 juta telah diluluskan bagi membaiki kerosakan tersebut,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Mohamad Fazli berkata, kerja-kerja pembaikan akan dimulakan pada Mac ini, melalui kaedah ‘partial reconstruction’ dan ‘rigid pavement’ yang mampu bertahan lebih lama serta sesuai untuk jalan yang sering digunakan oleh kenderaan berat.

 

“Kualiti jalan raya seluruh Negeri Johor sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan saya sendiri memantau rapat aduan serta cadangan dari semua pihak,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor