100 PESERTA SERTAI CABARAN EXPLORE PETA @ SIREH PARK


Kira-kira 100 peserta menyertai Cabaran Mari Explore PETA @ Sireh Park bagi meraikan kelestarian ekologi dan biodiversiti.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melaksanakan Cabaran Mari Explore PETA @ Sireh Park melibatkan kira-kira 100 peserta di kalangan ibu bapa dan kanak-kanak.

 

Cabaran bagi memberi pendedahan dan pengalaman itu untuk meraikan kelestarian ekologi dan biodiversiti terdapat di Sireh Park, di sini.

 

Datuk Bandar MBIP, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad berkata, aktiviti itu merupakan kesinambungan daripada projek pendidikan, kesedaran awam dan gaya hidup sihat, PETA @ IP di bawah Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0.

 

Menurut beliau, eksplorasi tersebut membuka ruang peserta meneroka dan merekodkan spesis haiwan serta tumbuhan liar terdapat di dua taman awam utama di bandar raya Iskandar Puteri iaitu Sireh Park dan Hutan Bandar Mutiara Rini.

 

“PETA @ IP telah menjadikan Bandaraya Iskandar Puteri sebagai bandar raya pertama seumpamanya di Negeri Johor yang menyertai program tahunan antarabangsa, City Nature Challenge melalui Iskandar Malaysia City Nature Challenge (IMCNC) dengan membolehkan masyarakat setempat terlibat dalam aktivti meneroka spesis dan tumbuhan liar terdapat di sekitar bandar raya.

 

“Ia juga meningkatkan pemeliharaan kawasan penyimpanan karbon di Iskandar Puteri secara semula jadi,” kata beliau.

 

Cabaran Mari Explore PETA @ Sireh Park mengadungi aktiviti seperti Kelas Rama-Rama dan Pepatung, Sesi Eksplorasi dan Perkongsian Peserta serta Permainan Bingo dan Kolaj Semula Jadi.

 

Sehingga kini, sebanyak 282 spesis hidupan ditemui di Sireh Park dan Hutan Bandar Mutiara Rini melibatkan 132 pengecam dan 24 pemerhati berdasarkan 581 pemerhatian yang telah diadakan.

 

MBIP amat mengalu-alukan projek pendidikan, kesedaran dan gaya hidup rendah karbon yang meningkatkan penyertaan masyarakat dan memberi kesan jangka panjang kepada kelestarian alam sekitar.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor