GERAKAN KOPERASI JOHOR MAMPU JANA ASET, PEROLEHAN


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah hadir ke Koperasi Kariah Masjid Taman Impian Emas, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Kemampuan Koperasi Kariah Masjid Taman Impian Emas mengusahakan ladang fertigasi dengan tuaian hasil tanaman berserta pulangan membuktikan gerakan koperasi di negeri ini, mampu menjana aset dan perolehan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, koperasi di Masjid Taman Impian Emas, dekat Johor Bahru itu mengusahakan tanaman fertigasi di atas tanah waqaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) seluas 0.5 ekar.

 

Menurutnya, antara tanaman diusahakan adalah timun, kacang panjang dan cili selain dibangunkan ladang kelulut menempatkan sebanyak 50 sarang.

 

“Saya dimaklumkan, koperasi ini juga suatu ketika mampu menuai hasil kutipan tanaman timun sehingga RM15,000 dalam sekali sesi tuaian.

 

“Saya juga suka untuk kongsikan aset Koperasi Kariah Masjid Impian Emas Berhad yang ditubuhkan sejak tahun 2020 ini adalah berjumlah RM200,000 berupa bangunan kontena dan tanaman,” katanya.

 

Terdahulu beliau meninjau ladang fertigasi diusahakan Koperasi Kariah Masjid Taman Impian Emas sebagai rutin hari Isnin bersama Keluarga Koperasi Johor.

 

Turut hadir, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Johor, Akram Hassan; Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Sazali Abd Hamid serta Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Impian Emas Berhad, Abdul Ibrahim.

 

Mohd Hairi berkata, SKM juga telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM70,000 bagi membantu koperasi itu melaksanakan aktiviti diusahakan.

 

“Ini membuktikan bahawa menerusi gerakan koperasi walaupun berstatus koperasi mikro, Koperasi Kariah Masjid Impian Emas mampu menjana aset dan perolehan yang boleh dikatakan pada tahap yang baik serta memberangsangkan.

 

“Ketika duduk bersama dengan pimpinan koperasi ini, ada juga permasalahan disuarakan kepada saya antaranya isu permasalahan tenaga kerja selain isu serangan serangga ke atas tanaman diusahakan,” katanya.

 

Justeru, beliau komited untuk membantu dan memastikan agensi berkaitan memastikan koperasi di negeri ini, terus bergiat aktif.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor