22 JURULATIH TERPILIH SERTAI RISE UP TALENT- MSNJ
ISKANDAR PUTERI — Seramai 22 jurulatih terdiri daripada guru sekolah rendah dan menengah terpilih menyertai Program Rise Up Talent anjuran Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).
Pengarah MSNJ, Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak berkata, program itu merupakan agenda di bawah Program GRIT 2030, yang melahir serta membangunkan lebih ramai jurulatih di negeri ini.
“Pembangunan atlet bukan sahaja penting untuk melahirkan juara di masa akan datang tetapi juga membentuk kemenjadian murid menjadi insan yang berdisiplin serta berkeyakinan tinggi”, katanya semasa Majlis Pelancaran Program Rise Up Talent dan Pelancaran Modul Asas Kejurulatihan Sukan Negeri Johor, hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Musa Atan.
Jurulatih dari setiap daerah itu berperanan mengajar berkaitan sains sukan yang betul kepada murid-murid dari peringkat awal persekolahan.
Peserta program, Iqbal Abdul Latif, 38, berkata, program disertai merupakan peluang keemasan baginya kerana dapat meningkatkan pengetahuan sebagai seorang guru.
“Meskipun saya sudah lama dalam bidang sukan, ini peluang untuk tingkatkan ilmu dalam pada masa sama dapat satu modul yang betul-betul ‘solid’ untuk kita ajar kepada atlet di sekolah,” katanya yang juga seorang guru sukan di SMK Palong Timur, Segamat.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor