HARGAI NIKMAT PERPADUAN DAN KEAMANAN – EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon bermesra dengan pengunjung semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Johor, tadi. | Foto MDJ Imran Razib

 

KLUANG — Rakyat Malaysia perlu mensyukuri kepelbagaian budaya dan kaum di negara ini demi menjaga keamanan dan perpaduan yang telah dikecapi selama ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata generasi baharu wajar memahami dan mendalami pengorbanan yang dilakukan oleh generasi terdahulu yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan.

 

“Anak muda perlu ambil peluang untuk banyak bertanya dan belajar dengan ‘orang lama’ yang telah melalui pelbagai zaman seperti peristiwa darurat dan sebagainya. Kita sebagai generasi baharu tidak pernah merasai zaman itu.

 

“Kita cuma dengar sebagai cerita sahaja tetapi mungkin kurang pemahaman dan tidak dapat merasai bagaimana peritnya datuk nenek kita berjuang mendapatkan kemerdekaan,” katanya ketika berucap di Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Johor di sini, hari ini.

 

Tian Soon juga menyeru semua pihak agar sama-sama menghayati nilai lima prinsip Rukun Negara yang menjadi tunjang kepada keamanan negara.

 

“Pada zaman sekolah dahulu, kita sering membaca Rukun Negara. Tetapi apabila kita sudah masuk ke alam pekerjaan, ramai di antara kita yang mungkin lupa dengan lima prinsip Rukun Negara.

 

“Justeru, sama-samalah kita menghargai lima prinsip Rukun Negara. Itulah merupakan asas dan tunjang kepada keamanan negara yang kita kecapi selama ini,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor