Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, syarikat tersebut juga telah menyatakan kesediaan dan komitmen untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM100 juta pada masa akan datang. | FOTO IHSAN, FB Onn Hafiz Ghazi

JOHOR TERIMA PELABURAN RM300 JUTA MENERUSI PEMBUKAAN FASILITI J-STAR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, syarikat tersebut juga telah menyatakan kesediaan dan komitmen untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM100 juta pada masa akan datang. | FOTO IHSAN, FB Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI — Johor menerima pelaburan bernilai RM300 juta menerusi pembukaan fasiliti milik syarikat JStar Motion Sdn. Bhd (JStar) di Kawasan Perindustrian i-Park, Bandar Indahpura, dekat Kulai, hari ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, syarikat tersebut juga telah menyatakan kesediaan dan komitmen untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM100 juta pada masa akan datang.

 

Dengan pembukaan kilang pertama syarikat berkenaan di rantau ASEAN, beliau berkata pelaburan itu turut menyediakan 600 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini, dan Malaysia amnya.

 

“Syarikat JStar merupakan sebuah kilang komponen perabot pintar dan penghasilan produk ergonomik, yang telah mula beroperasi sepenuhnya.

 

“Mereka turut membawa masuk dua syarikat vendor iaitu SRE Power Technology Sdn. Bhd., serta Hux Top Industries Sdn. Bhd.

 

“Hal ini sudah semestinya menjelmakan limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar Kulai serta menambah keyakinan pelabur-pelabur luar untuk melabur di Johor,” katanya beliau yang telah hadir menyempurnakan perasmian pembukaan syarikat JStar, hari ini.

 

Selain itu, Onn Hafiz juga berkeyakinan tinggi hasrat untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 mampu direalisasikan secara bersama.

 

Turut hadir, Setiausaha Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Muhamad Syahrizat Alwee; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Kulai, Azmi Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Jiechang merangkap Pengasas ZheJiang Jiecang Linear Motion Company Limited (Jiecang), Lu Xiao Jian serta Pengurus Besar JStar Malaysia, Tony Wong Nang Ling.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor