HARI TERBUKA TAMAN BAYU DAMAI 2024 MERIAH


YB Aznan Tamin, Ahli Dewan Negeri Tanjung Surat menyantuni pengunjung pada sambutan Hari Terbuka Taman Bayu Damai 2024. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Pengerang – Lebih 1,500 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Terbuka Taman Bayu Damai 2024 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi.

 

Program anjuran Pusat Khidmat DUN Tanjung Surat ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara komuniti dan juga untuk meraikan hampir 3,000 penduduk dari tujuh kampung di kawasan Pengerang yang telah berpindah secara berfasa ke Taman Bayu Damai sejak 2014 berikutan perkampungan asal mereka kini telah dibangunkan bagi memberi laluan kepada projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang.

 

Terdahulu YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri Tanjung Surat menyempurnakan majlis perasmian hari terbuka berkenaan dengan melepaskan peserta ‘explorace’.

 

Pelbagai aktiviti turut dianjurkan pada hari terbuka itu seperti pertandingan mewarna, gubahan pulut kuning dan sukan rakyat. Selain itu, program ini turut menampilkan reruai pameran daripada agensi-agensi di bawah portfolio Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bagi memperkenalkan perkhidmatan mereka kepada penduduk setempat.

 

Sementara itu, bagi Mohd Zulkifli Sahrom, 43, yang juga penduduk di Taman Bayu Damai memberitahu program ini sangat bermakna kerana ia secara tidak langsung dapat memperkukuhkan hubungan sesama penduduk.

 

Katanya, pengisian program kali ini juga turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberikan maklumat berguna melalui pameran yang disediakan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor