IKON SISWA JOHOR DIINGATKAN SENTIASA MENJAGA KEPERIBADIAN
ISKANDAR PUTERI — Ikon Siswa Johor diingatkan sentiasa menjaga tingkah laku, tutur kata dan keperibadian agar sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sebagai ikon siswa juga, kumpulan tersebut menjadi contoh dan ikutan kepada mahasiswa lain.
“Diharapkan agar Ikon Siswa ini sentiasa menjaga tingkah laku, tutur kata dan keperibadian mereka agar sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat sebagai Mahasiswa Johor, Mahasiswa Yang Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Bestari,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor 2022, semalam.
Mengulas mengenai majlis, Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) sekali lagi dapat menganjurkan anugerah berprestij itu pada tahun ini.
Katanya, penganjuran tersebut adalah untuk mengiktiraf dan menghargai kejayaan individu dan persatuan mahasiswa Anak Johor dalam pengurusan organisasi serta program dilaksanakan.
“Pengiktirafan atas usaha mahasiswa Anak Johor ini juga bertujuan memberi motivasi dan mengembangkan bakat pada diri mahasiswa untuk menjadi insan yang cemerlang dan berkepimpinan holistik,” katanya.
Ujarnya lagi, ia selaras dengan usaha kerajaan negeri bagi mengembangkan lagi mahasiswa yang berdaya saing dalam berhadapan cabaran revolusi.
“Anugerah ini menjadi medan dalam melahirkan insan yang seimbang dalam aspek kepimpinan, sukan, kebudayaan, kesukarelawan, akademik, inovasi dan keusahawanan atas penglibatan bersama masyarakat sekeliling.
“Saya berharap dengan anugerah yang dimenangi mampu menjadi titik tolak kepada mahasiswa Johor dalam menjadi mahasiswa contoh dan berketerampilan tinggi,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor