IMFC BANTU PELAKSANAAN JS-SEZ


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Johor akan menjadikan penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) sebagai medium untuk menangani cabaran dalam menjayakan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

IMFC akan berperanan sebagai pusat sehenti dengan menyediakan khidmat perunding serta mempermudahkan urusan perniagaan itu dilihat berupaya membantu dari aspek penyediaan tenaga kerja mahir bagi menampung keperluan industri dan pelaburan yang berkualiti tinggi.

 

Kerajaan Negeri juga komited untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan memperkemas urus tadbir dengan turut menjadikan IMFC itu sebagai pusat rujukan bagi para pelabur yang berhasrat melabur di kawasan JS-SEZ terutama dalam urusan berkaitan maklumat serta kelulusan berkaitan pelaburan.

 

Selain itu, agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan juga akan diselaraskan dan diletakkan di bawah satu bumbung IMFC supaya kerjasama serta komitmen dari semua pihak dapat digembleng dalam usaha menjayakan pelaksanaan JS-SEZ di Negeri Johor.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Ahli Dewan Negeri kawasan Benut pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor