JS-SEZ PEMANGKIN EKONOMI JOHOR


Lawatan kerja YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan delegasi Kerajaan Negeri ke Shenzen, China pada bulan Mac 2024 lepas. | Foto Ihsan MEDKOM

 

Lawatan kerja Kerajaan Johor ke Shenzhen pada bulan Mac lalu bukan sahaja mencerminkan komitmen dan keseriusan Kerajaan Negeri menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) malah membuka peluang mempelajari rahsia kejayaan transformasi bandar metropolis berkenaan daripada perkampungan nelayan menjadi antara nadi ekonomi utama China dalam tempoh empat dekad.

 

Menerusi lawatan kerja selama lima hari tersebut, delegasi Kerajaan Negeri telah mengenal pasti mekanisme terbaik menjayakan pelaksanaan JS-SEZ yang diyakini memberi limpahan ekonomi kepada negeri dan manfaat untuk rakyat menerusi penyediaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi hasil pembangunan dan kemajuan yang berlaku seperti dikecapi oleh Shenzhen.

 

Di samping itu, lebih 40 syarikat berpangkalan di Shenzhen yang berpotensi untuk melabur juga telah menzahirkan keyakinan terhadap landskap dan persekitaran Negeri Johor berdasarkan faktor seperti kedudukan geografi yang strategik selain kemudahan infrastruktur yang termasuk pelabuhan, lapangan terbang, jaringan jalan raya dan utiliti.

 

Berdasarkan lawatan kerja yang disifatkan sebagai cukup signifikan itu memberikan sinar dan keyakinan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri bahawa kewujudan JS-SEZ kelak berupaya mentransformasikan seterusnya mengangkat Negeri Johor sebagai ‘The Next Shenzhen’ di rantau Asia Tenggara pada masa akan datang.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab pertanyaan YB Andrew Chen Kah Eng, Ahli Dewan Negeri Johor Stulang dan YB Ng Yak Howe, Ahli Dewan Negeri Johor Bentayan secara bersekali mengenai hasil lawatan kerja Kerajaan Johor ke Shenzhen pada Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor