LRT, ART BANTU ATASI KESESAKAN JOHOR BAHRU


YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Pembinaan sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Autonomi (ART) sangat diperlukan bagi membantu penyuraian penumpang dan menyokong pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada akhir Disember 2026 sekali gus menjadi penyelesaian kepada kesesakan trafik di bandar raya Johor Bahru.

 

Bagi merealisasikan penyediaan sistem pengangkutan yang kondusif menerusi pelaksanaan LRT dan ART bertingkat, laporan penilaian kajian kebolehlaksanaan (feasibility) dan daya maju (viability) kedua-dua sistem pengangkutan berkenaan sudah diangkat kepada Kementerian Ekonomi untuk dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

 

Untuk rekod, cadangan pembinaan ART bertingkat sebelum ini telah mendapat perkenan daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk Kerajaan Negeri membawa idea berkenaan ke peringkat Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi kesesakan di bandar raya Johor Bahru.

 

Selain itu, Kerajaan Johor turut menzahirkan sokongan terhadap pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dijangka memberi impak positif kepada Negeri Johor selain menjadi usaha mempertingkatkan infrastruktur pengangkutan rel seterusnya merancakkan ekonomi negara.

 

Terdahulu, YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor menjawab soalan YB Andrew Chen Kah Eng, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Stulang; YB Baharudin Mohamed Taib, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Permas serta YB Amira Aisya Abd. Aziz, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Puteri Wangsa secara bersekali mengenai perancangan pembangunan infrastruktur pengangkutan di negeri ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor