INI KEKALAHAN YANG BERBALOI – ESTEBAN SOLARI


Esteban Solari pada sidang media pasca perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 pertemuan diantara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, malam semalam. | Foto MDJ Bayu Wira.

 

Kemenangan yang tertangguh! Itu kalimat yang boleh digambarkan kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pertama Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 menentang Kawasaki Frontale, semalam, selepas tewas 1-0 meskipun mempamerkan persembahan berkualiti di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri.

 

Akur dengan keputusan yang tidak memihak kepada skuad Harimau Selatan, Esteban ‘Tano’ Solari selaku Ketua Jurulatih JDT secara tenang menyifatkan pertembungan dengan kelab dari Jepun itu sebagai ‘malam yang sukar’, tetapi memandangkan positif corak permainan dipersembahkan oleh pemainnya.

 

Menegaskan dirinya secara peribadi tidak menggemari keputusan seumpama itu, Solari bagaimanapun akan memilih untuk ‘tewas dalam menang’ kerana melihat keputusan yang diraih sebagai sesuatu yang berbaloi dari perspektif menyeluruh sekiranya diberikan pilihan.

 

Percaya dengan kemampuan dimiliki pasukannya, pengendali dari Argentina ini optimis skuad Harimau Selatan akan bangkit seterusnya menjadi lebih kuat bagi mengharungi perlawanan peringkat Kumpulan I, dengan mengambil kira pengajaran berharga daripada perlawanan dengan Kawasaki Frontale.

 

Solari memuji aksi bertenaga daripada pemain muda kian meningkat naik, Arif Aiman selepas melakukan gerakan berbahaya yang berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan lawan selain beberapa tindakan menyelamat penting oleh Syihan Hazmi yang memberikan kesukaran kepada pasukan pelawat untuk menambah jaringan dalam babak separuh masa kedua.

 

Sementara itu, Toru Oniki selaku Ketua Jurulatih Kawasaki Frontale memuji corak persembahan dipamerkan pemain JDT malah mengakui permainan berintensiti tinggi daripada skuad Harimau Selatan tampak berjaya menyekat kemaraan dan asakan yang disusun atur oleh pemainnya, tetapi positif dengan keputusan diperoleh seperti mana yang telah dirancang.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor