ISTIADAT PERTABALAN LAMBANG NEGARA BERDAULAT


Majlis Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Balairung Seri, Istana Negara pada 31 Januari 2024. | Foto Istana Negara

 

Seluruh rakyat berbilang kaum di seluruh negara bakal menyaksikan satu lagi lakaran peristiwa bersejarah iaitu Istiadat Pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang menjadi simbol kedaulatan dan kebesaran institusi Raja Berperlembagaan dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, Kuala Lumpur, esok.

 

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang telah melafaz sumpah memegang jawatan pada 31 Januari lalu, akan ditabalkan sebagai Ketua Utama Negara dalam istiadat yang telah menjadi warisan dan tradisi dalam mengangkat kedudukan institusi beraja sebagai pancuran keadilan menaungi rakyat jelata.

 

Istiadat Pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang kaya dengan warisan Raja-Raja Melayu ini merupakan suatu pengiktirafan tertinggi kepada institusi beraja melalui proses penuh tertib dan simbolik, jelas Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Selain turut mengertikan mesej akan kedudukan Seri Paduka Baginda yang dimuliakan serta diberikan kedudukan yang tertinggi oleh rakyat, istiadat ini boleh memupuk semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara jika rakyat menghayati tatacara istiadat agar terbitnya simbiosis ‘raja memerlukan rakyat dan rakyat memerlukan raja’ sebagai tempat berlindung.

 

Selain itu, Dr. Shamrahayu mengingatkan akan sumbangan signifikan Majlis Raja-Raja dalam perjanjian kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 yang menjadi kebanggaan dan simbol agung kedaulatan institusi beraja dan negara yang harus rakyat terutama generasi muda fahami serta hayati dengan sepenuh jiwa.

 

#PertabalanYDPA17
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor