PUSAT PENTADBIRAN BAHARU PEJABAT DAERAH KULAI DAN PEJABAT TANAH KULAI MAMPU BERI MUTU PERKHIDMATAN TERBAIK KEPADA RAKYAT


Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, berkata kompleks bangunan baharu yang dibina dengan keluasan 5.26 hektar, menelan kos pembinaan sebanyak RM61 juta turut menyediakan pelbagai fasiliti antaranya ialah ruang pejabat, kaunter hasil, bilik gerakan, bilik mesyuarat, dewan serbaguna, kafeteria, gimnasium dan surau | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

KULAI — Pembinaan Pusat Pentadbiran Baharu yang menempatkan Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Kulai bertujuan menjadikan sistem penyampaian kerajaan lebih bersifat pro-rakyat, selain dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada orang awam yang berurusan di kompleks pejabat berkenaan.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, berkata kompleks bangunan baharu yang dibina dengan keluasan 5.26 hektar, menelan kos pembinaan sebanyak RM61 juta turut menyediakan pelbagai fasiliti antaranya ialah ruang pejabat, kaunter hasil, bilik gerakan, bilik mesyuarat, dewan serbaguna, kafeteria, gimnasium dan surau.

 

“Kejayaan menyiapkan pusat pentadbiran baharu ini secara tidak langsung akan dapat merealisasikan hasrat dalam memastikan 10 daerah di Negeri Johor ini akan turut memiliki aset serta prasarana yang sama kelak”.

 

“Selain itu semua personel pejabat berkenaan perlu memikirkan pengurusan ruang kerja yang terbaik supaya semua fasiliti dan ruang yang disediakan ini dapat digunakan dengan semaksimum yang mungkin sama ada secara fizikal atau dalam bentuk digital, katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dokumen Pusat Pentadbiran Baharu Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kulai di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, penjawat awam yang bertugas di kompleks bangunan baharu ini juga akan mampu untuk memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik, selain memberi keselesaan kepada rakyat yang datang berurusan.

 

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), YB Dato’ Haji Mohamed Ridha Dato’ Haji Abd Kadir; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), YB Dato’ Haji Mohd Noh Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat), Hajah Shubanah Yusuf dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor, Dato’ Haji Ashari Kasnan.

 

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan penyerahan Dokumen Pusat Pentadbiran Baharu Pejabat Daerah dan Tanah Kulai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan), Dato’ Haji Mohamed Ridha Dato’ Haji Abd Kadir kepada Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani.

 

Menerusi pusat pentadbiran baharu itu, ia dijangka akan dapat menyokong pembangunan iktisad di daerah Kulai yang semakin pesat terutama kedudukan daerah itu yang kini menjadi penyumbang kedua ekonomi Johor selepas daerah Johor Bahru.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor