STESEN ‘SUPERCHARGER’ TESLA KINI DI JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan stesen ‘Supercharger’ Tesla pertama di Sunway Big Box, Iskandar Puteri. | Foto MDJ, Hafez Azhar

 

NEGERI Johor menjadi lokasi kedua rangkaian stesen ‘Supercharger’ Tesla selepas Pavilion, Kuala Lumpur bagi pemilik kenderaan elektrik (EV) tersebut menikmati pengalaman pengecasan yang pantas dan lancar.

 

Terletak di lokasi strategik menghubungkan Malaysia dan Singapura iaitu Sunway Big Box, Iskandar Puteri, stesen itu menyediakan empat pengecas yang berupaya mengecas kenderaan Model Y keluaran Tesla dalam tempoh hanya 15 minit untuk jarak pemanduan sejauh 270 kilometer.

 

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Tesla Malaysia yang memilih Johor sebagai lokasi kedua bagi menyediakan stesen ‘Supercharger’ mereka. Kita harap kita dapat bekerjasama lagi agar mereka dapat membuka Pusat Tesla yang kedua di negara ini, juga di Johor,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han.

 

Beliau turut memberitahu terdapat perancangan untuk menambah lebih banyak stesen pengecasan EV di Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai dengan indikator utama yang diambil kira adalah lokasi tumpuan kumpulan pengguna kenderaan tersebut.

 

“Ia memang menjadi satu agenda nasional untuk mempromosikan sektor kenderaan elektrik (EV), jadi Kerajaan Negeri Johor akan membantu usaha Kerajaan Persekutuan untuk menjayakan agenda ini,” tambah beliau.

 

Terdahulu, berlangsungnya majlis pembukaan rasmi stesen ‘Supercharger’ Tesla pertama di Sunway Big Box, Iskandar Puteri yang disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor