JAMBATAN SUNGAI PULAI DIBUKA KEPADA ORANG RAMAI HARI INI
ISKANDAR PUTERI — Jambatan Sungai Pulai sepanjang 7.5 kilometer dengan kos pembinaan kira-kira RM800 juta menghubungkan Johor Bahru dengan Pontian disempurnakan perasmian pembukaannya oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini.
Infrastruktur terbaharu itu direka bentuk dengan laluan dua hala berserta dua lorong dan mempunyai laluan navigasi untuk kapal dengan ketinggian 25 meter dan lebar 100 meter.
Merentasi Sungai Pulai, jambatan tersebut memberi laluan terus dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah ke Tanjung Bin, Tanjung Piai dan Pontian.
Dalam ucapannya, Onn Hafiz menyifatkan pembukaan Jambatan Sungai Pulai sebagai detik bersejarah yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Johor.
“Bukan sahaja mereka yang berada di daerah Pontian mahupun Johor Bahru, malah oleh seluruh penduduk Negeri Johor. Kerana, ia akan memendekkan perjalanan untuk seluruh warga Johor.
“Saya melihat bahawa bila kita ada kesepakatan, menggembeling tenaga untuk menjayakan sesuatu perkara yang mungkin kita terpaksa tunggu 50 tahun itu, hari ini sudah menjadi satu realiti,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis tersebut.
Beliau memberitahu Jambatan Sungai Pulai bukan sahaja menjadi pemangkin kepada PTP dan Tanjung Bin, tetapi akan membuka lebih banyak kawasan perindustrian dan merancakkan lagi eko-pelancongan.
Sementara itu, Pengerusi Seaport Worldwide Sdn. Bhd. merangkap Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, jambatan yang diidamkan penduduk Pontian sejak 50 tahun itu dimajukan oleh Seaport Worldwide Sdn. Bhd. melalui usahasama awam-swasta bagi meningkatkan keselesaan masyarakat sekitar.
“Selain itu, pembinaan jambatan ini turut mengambil kira kedudukan lokasi yang sangat strategik kerana ia menghubungkan keperluan maritim, industri dan juga pelancongan daerah Johor Bahru dan Pontian.
“Lokasi pembinaan jambatan ini adalah sangat tepat untuk memudahkan pergerakan di antara kedua-dua daerah yang saling berhubung kait dari segi sosio dan ekonomi rakyat selatan Johor,” katanya.
Untuk makluman, Jambatan Sungai Pulai yang mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama ketika waktu puncak dan musim perayaan dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula jam 6 petang ini.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor