ECOLIFE CHALLENGE SUMBANG USAHA RENDAHKAN SUHU BUMI


Pelaksanaan aktiviti penjimatan air, elektrik dan kitar semula barangan oleh murid Darjah 6 di seluruh Negeri Johor menerusi IMELC sejak 10 tahun lalu, berjaya menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelaksanaan aktiviti penjimatan air, elektrik dan kitar semula barangan oleh murid Darjah 6 di seluruh Negeri Johor sejak 10 tahun lalu, berjaya menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

 

Usaha dilakukan menerusi pertandingan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) itu telah menurunkan 783,146.52 kilogram karbon dioksida (kgCO2) bersamaan penyerapan karbon dioksida 50,200 batang pokok.

 

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim berkata, di Iskandar Malaysia, usaha memelihara dan memulihara alam sekitar dilaksanakan sejajar dengan pembangunan ekonomi dan sosial untuk memastikan wilayah itu menjadi metropolis yang mampan dan kukuh.

 

“Oleh itu, selain daripada bekerjasama dengan rakan-rakan daripada pihak kerajaan dan swasta, penglibatan komuniti juga penting bagi membentuk generasi muda yang akan memacu dan mengekalkan agenda rendah karbon Iskandar Malaysia pada masa hadapan.

 

“Atas sebab itulah pertandingan IMELC diwujudkan pada tahun 2013 dan kami amat berbangga melihat peningkatan berterusan dalam jumlah penyertaan sekolah, murid, ibu bapa dan komuniti malah pertandingan ini telah berjaya membentuk kanak-kanak yang berminat dan mengamalkan gaya hidup rendah karbon,” katanya.

 

Bermula penggunaan buku kerja bercetak, pertandingan IMELC kini dilaksanakan secara digital melalui laman web bagi memudahkan murid-murid merekod aktiviti mereka selaras dengan usaha menjaga alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan kertas.

 

Setiap tahun, murid Darjah 6 perlu mengisi maklumat berkaitan penggunaan bil air, elektrik, jarak perjalanan menggunakan kereta, berat barangan kitar semula dan minyak serta menjawab kuiz bagi memberi pendedahan bagaimana aktiviti harian menyumbang kepada pengeluaran karbon.

 

Secara keseluruhan, lebih tujuh kategori anugerah diberikan kepada pelajar, sekolah dan guru yang berjaya dalam pertandingan IMELC pada tahun ini.

 

Untuk rekod, pada tahun lalu, SJKC Foon Yew 2 berjaya mengekalkan kejuaraan keseluruhan pertandingan selain turut dijadikan penanda aras dalam usaha kelestarian di Negeri Johor dan Malaysia amnya.

 

Meraikan IMELC ke-10, pelaksanaan tahun ini dimeriahkan dengan penglibatan IMELC di Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor