JBIOTECH PERKASA KEMAHIRAN PEKERJA BIOMEDIKAL
#Tangkak – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan akan terus memperkasa kemahiran bidang mekanikal menerusi Program Peningkatan Kemahiran dan Kompetensi.
Program selama dua hari yang dianjurkan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang itu berjaya menarik 530 peserta, selain ia juga menjadi platform terbaik bagi menyokong keperluan industri serta memperkukuhkan lagi kedudukan Negeri Johor sebagai pusat bioekonomi utama negara sekali gus memperkasa inisiatif Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor (JTDC).
Seramai 31,710 modal insan terlatih berjaya dilahirkan menerusi program ‘Johor Bioeconomy Center Of Excellence’ (JBCoE) dan ‘Technical Expert Training’ (THETA) bagi menyediakan tenaga kerja tempatan yang berkebolehan dan berkemahiran tinggi.
Langkah berkenaan juga dilihat selari dengan usaha untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri, sekali gus menampung 100,000 peluang pekerjaan yang bakal tercipta di negeri ini terutama di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang telah dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan Singapura awal bulan ini.
Terdahulu, perasmian Forum Kompetensi, Profesionaliti dan Integriti dalam Industri Kejuruteraan Biomedikal telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Ramlee Ahmad, Timbalan Presiden J-Biotech di KKTM Ledang, pada Khamis.
Turut hadir, YBrs. Puan Fatimah Mat Ghani, Pengarah KKTM Ledang ; Ts. Mohd Sharezza Sirun, Penolong Pengarah Kanan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan YBrs. M. H. Azizi Simin, Pengarah ZA Healthcare Sdn Bhd.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor