JDT BURU HATRIK PIALA MALAYSIA

Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Bahang aksi final Piala Malaysia 2024/2025 kian terasa apabila Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sudah bersiap sedia mempertahankan kejuaraan berprestij itu apabila menentang Sri Pahang FC dalam misi memburu gelaran hatrik dalam edisi kali ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Skuad Harimau Selatan pastinya mengimpikan untuk menambah koleksi trofi buat kali ketiga berturut-turut selepas kejayaan yang dilakar pada 2022 dan 2023, seterusnya melengkapkan senarai kejuaraan yang turut pernah dirangkul pada edisi 2019 dan 2017 lalu.
Selepas menggenggam Piala Sumbangsih 2024, Piala FA 2024/2025 serta mencipta rekod kejuaraan Liga Super ke-11 berturut-turut, hanya tinggal Piala Malaysia sebagai pelengkap untuk mencipta satu lagi rekod baharu iaitu ‘hatrik quadruple’ sekali gus menutup musim gemilang pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu.
JDT mara ke pentas akhir edisi kali ini dengan penuh bergaya selepas memulakan kempen menewaskan Kuala Lumpur Rovers (agregat 9-0), Kuala Lumpur City FC (6-1) dan Terengganu FC (6-1) dalam laluan final ke Bukit Jalil.
Ketua jurulatih, Hector Bidoglio dijangka akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk menentang skuad kendalian Fandi Ahmad di hadapan puluhan ribu penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil.
Barisan serangan sudah pasti akan dikemudi oleh dua penggempur berbisa iaitu Bergson da Silva dan Ariff Aiman Hanapi dengan disokong Juan Muniz dan Natxo Insa di bahagian tengah. Sementara itu, benteng pertahanan pula akan diperkukuh dengan kehadiran Park Jun-Heong dan posisi penjaga gawang pula akan dikawal rapi oleh Ahmad Syihan Hazmi.
Walaupun dilihat memiliki kelebihan ‘atas kertas’ dari segi rekod dan persembahan konsisten musim ini, JDT terus memilih untuk tampil merendah diri, turun ke final kali ini sebagai pasukan bukan pilihan atau ‘underdog’ untuk menyerap cabaran daripada skuad Tok Gajah.
Buat puluhan ribu Bangsa Johor yang bakal menempuhi perjalanan sejauh 300 kilometer, berhati-hati di jalan raya kerana anda adalah nadi semangat pasukan demi menyaksikan detik bersejarah JDT merangkul kejuaraan hatrik Piala Malaysia, esok.
Menjunjung setinggi-tinggi kasih DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas visi dan revolusi bola sepak Johor sejak 2012 yang membina landasan kukuh, menjadikan Johor ‘The Reigning Defending Undisputed Champion’ pentas bola sepak Malaysia dan tidak lagi sekadar mengenang kejayaan lama.
#JDTvsSriPahang
#WhatCanYouDo
#BangsaFinal
#PialaMalaysia
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor