JDT KEKAL DENGAN SASARAN REALISTIK MUSIM BAHARU


Temubual DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi JOHOR Southern Tigers.

 

ISKANDAR PUTERI — Meskipun dilihat sebagai pasukan pilihan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim baharu, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal dengan sasaran realistik yang diletakkan bagi setiap pertandingan.

 

DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah, bagi saingan Liga Super, JDT mensasarkan kedudukan tiga teratas seperti biasa, kerana ingin layak dalam saingan di peringkat Asia.

 

Begitu juga dengan Liga Juara-Juara AFC (ACL), pemilik JDT itu berharap Harimau Selatan berjaya melepasi peringkat kumpulan.

 

“Sasaran untuk pasukan JDT macam biasa, tiga teratas kerana kami hendak bermain, harap-harap dapat bermain di Asia. Jadi tiga teratas dalam Liga (Super).

 

“Untuk Liga Juara-Juara (AFC) pula, kami harap kami dapat lepas peringkat kumpulan kerana macam mana pun, saya tetap realistik dalam sasaran ACL kerana dengan kualiti pasukan lain yang bertanding,” titah Tunku Ismail seperti dipetik dari temubual menerusi platform rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers.

 

Tunku Mahkota Johor menyifatkan JDT sebagai ‘projek muda dan baharu’ dalam kancah pertandingan ACL berbanding pasukan lain.

 

“Jadi (JDT) realistik sasaran melepasi peringkat kumpulan, ataupun kalau ada rezeki, saya berharap kita dapat masuk suku akhir. Itu untuk ACL,” titah Baginda Tunku.

 

Manakala saingan Piala FA pula, pemilik JDT itu berharap JDT dapat layak ke peringkat suku akhir.

 

“Dan juga Piala Malaysia, kita ada strategi yang lain. Kami akan letak lebih pemain-pemain muda untuk memberi mereka minit (permainan) dan juga pengalaman. Jadi kita boleh memberi fokus dengan agenda-agenda yang lain.

 

“Jadi untuk Piala Malaysia, saya berharap dapat masuk suku akhir ataupun separuh akhir, tetapi lebih dengan barisan pemain kami yang muda yang lain,” titah beliau.

 

Bertitah mengenai pra-musim di Dubai tempoh hari, Tunku Mahkota Johor berpandangan ia sebagai penting dan strategik berikutan lokasi yang dekat serta ‘centre’ untuk diuji dengan pasukan lebih mantap, kaliber tinggi dan baik seperti jaguh Rusia, Zenit St. Petersburg.

 

“Dan di Dubai, dengan salah satu kita punya penaja dan rakan, kita juga tidak berbelanja begitu banyak kerana kita punya hotel termasuk kita punya pusat latihan, semua adalah percuma,” titah Tunku Ismail.

 

Baginda Tunku juga bertitah memaklumkan JDT sebagai kelab bolasepak mahu mengecap kejayaan dalam setiap aspek mencakupi infrastruktur sukan, teknologi serta pencapaian dalam dan luar padang.

 

“Kami di sini adalah untuk kejayaan setiap aspek. Ada infrastruktur sukan yang tercanggih, teknologi serta kejayaan dalam padang dan setiap pertandingan.

 

“Kami adalah kelab yang cuba berjaya dalam setiap aspek, nilai komersial, infrastruktur tercanggih dan kejayaan dalam padang. Itu lebih penting bagi saya,” titah Baginda Tunku lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor