POLIS JOHOR SIASAT PIHAK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB MENYAMAR TMJ


Kenyataan media Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berhubung kes menyamar sebagai DYAM Tunku Mahkota Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Polis Johor sedang menjalankan siasatan terhadap pihak tidak bertanggungjawab disyaki menyamar sebagai DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

 

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada media Istana Johor mengenai perkara itu kira-kira jam 2.35 petang tadi.

 

“Polis Johor telah menerima laporan daripada pihak media Istana Johor berkenaan satu tangkap layar Instagram melalui ‘direct message’ dengan menggunakan akaun hrhcrownprinceofjohor.

 

“Tangkap layar tersebut memaparkan mesej suspek mengaku sebagai DYAM Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor dan telah dihantar kepada beberapa pihak serta meminta sejumlah bayaran untuk urusan perniagaan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kumar berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek telah menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor dengan cara melakukan pengubahsuaian pada tangkap layar yang digunakan untuk berkomunikasi dengan mangsa.

 

Kata beliau, modus operandi digunakan adalah dengan mengubah dan menggunakan gambar profil serta akaun Instagram Tunku Mahkota Johor agar mangsa percaya sedang berkomunikasi dengan Tunku Ismail.

 

“Setakat ini dipercayai mesej berkenaan telah diedarkan kepada lapan buah syarikat dan ada di antara syarikat berkenaan telah terpedaya dan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diarahkan suspek untuk mendapatkan projek yang ditawarkan.

 

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (penyamaran) yang mana boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu) yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh juga didenda,” katanya.

 

Kumar berkata, mana-mana pihak yang telah menjadi mangsa diseru untuk melaporkan kepada polis agar siasatan secara menyeluruh dapat dijalankan dan seterusnya mengenalpasti serta mengesan suspek yang terlibat.

 

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan membuat semakan terlebih dahulu mengenai maklumat di media sosial sebelum menjalankan sebarang urusan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor