JDT MAMPU CIPTA KEJUTAN
Menjelang aksi pembuka tirai Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 pada malam ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berada dalam Kumpulan I dan bakal berhadapan dengan kelab dari Jepun, Kawasaki Frontale memiliki peluang untuk meraih kemenangan sebagai ‘tonik’ bagi mengharungi kempen kejohanan di peringkat Asia ini.
Pasukan kendalian Esteban ‘Tano’ Solari dilihat mempunyai pakej lengkap terutama di barisan serangan dengan adanya pemain seperti Bergson Da Silva, Heberty Fernandes dan Ariff Aiman selain Fernando Forestieri yang kembali menyertai pasukan selepas direhatkan akibat kecederaan sebelum ini.
Selain trio ‘attacking’ ini, tidak ketinggalan kekentalan Nathaniel Shio Hong Wan selaku ‘defensive midfielder’ selain kelincahan Endrick Dos Santos dan Juan Muniz yang membentuk sinergi dengan corak permainan bertahan dan menyerang daripada bahagian tengah.
Gandingan kapten pasukan, Jordi Amat bersama ‘ubi muda’ meningkat naik, Feroz Baharudin serta Matthew Davies dan La’Vere Corbin Ong pula menyaksikan JDT memiliki ‘back four’ terbaik di samping ketangkasan penjaga gawang, Syihan Hazmi yang menjadikan struktur kesebelasan utama pasukan kelihatan sempurna.
Bagi Hasnizam Uzir, bekas pemain pasukan Johor pada era 90-an percaya JDT pastinya akan bermula garang bagi meraih jaringan awal terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri. Apatah lagi, atmosfera penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, stadium keramat skuad Harimau Selatan yang luar biasa seperti diakui Toru Oniki, Ketua Jurulatih Kawasaki Frontale.
Bekas pemain Kebangsaan ini juga berkongsi akan adanya elemen kejutan dipersembahkan oleh JDT lebih-lebih lagi jaringan boleh dihasilkan oleh mana-mana pemain seperti ditunjukkan dalam saingan Liga Super selain pengalaman diraih daripada pertemuan dengan Kawasaki Frontale pada ACL musim lalu yang akan diteliti Solari demi tiga mata berharga di kubu sendiri.