JDT SAMBUT KEJUARAAN LIGA SUPER KE-11 PENUH PRESTIJ

JDT membuktikan dominasi mutlak dengan menjuarai Piala Malaysia 2024-2025, semalam, sebelum melengkapkan minggu bersejarah ini dengan menjulang Piala Liga Super 2024-2025 di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ibrahim. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Malam penuh magis di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meraikan Sambutan ‘Chapter 2: The 11′ sempena kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut dengan penuh prestij dan gilang gemilang.
JDT turut membuktikan dominasi mutlak dengan menjuarai Piala Malaysia 2024-2025, semalam, sebelum melengkapkan minggu bersejarah ini dengan menjulang Piala Liga Super 2024-2025 di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Kekal dengan cara tersendiri, penyokong JDT turut disajikan dengan persembahan ribuan dron dengan formasi ikonik dan bunga api menghiasi langit malam, disusuli kemunculan Harimau AR (Augmented Reality) menjadikan sambutan ini bukan sekadar sambutan kemenangan semata-mata, tetapi satu perisytiharan era baharu Harimau Selatan.
Selain itu, sambutan malam gilang-gemilang itu turut menyaksikan persembahan pembukaan daripada Boys of Straits (BOS) yang kemudiannya disusuli artis terkenal antarabangsa seperti Busta Rhymes, Fabolous, Big Ben, OneFour dan kumpulan Jabbawockeez (JBWKZ).
Saat paling ditunggu oleh penyokong JDT ialah acara simbolik serahan Piala Liga Super 2024-2025 yang dilakukan dengan penuh istiadat dengan perarakan masuk oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN), sebelum ia diserahkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor kepada pasukan JDT.
Terdahulu, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Kejuaraan Ke-11 Liga Super 2024-2025, Chapter 2: The 11.
Turut berangkat ialah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Sebagai penyokong, kita percaya bahawa pencapaian ini bukan penamat tetapi ia adalah satu permulaan kepada ‘Chapter 2’, lembaran baharu yang pasti membawa kejayaan lebih besar dalam meneroka pentas antarabangsa dan memperkukuh nama Johor sebagai kuasa bola sepak Asia.
#SukanMDJ
#OneMoreAlways
#Chapter2
#CHAMP11ONS
#TheTMJeffect
#WhatCanYouDo
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor