JENAMA JDT JADI KEUTAMAAN HAFIZH SYAHRIN


Hafizh Syahrin Abdullah bersama jentera Ducati Panigale V4R di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT HQ), Iskandar Puteri. | Foto JOHOR Southern Tigers

“Berapa bayaran gaji tidak pernah menjadi keutamaan saya kerana apa yang saya mahukan adalah dapat berlumba di litar,” tegas Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah pada sidang media pengenalan JDT Racing Team di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT HQ), Iskandar Puteri.

 

Sepanjang kariernya sebagai pelumba dan pernah menyertai beberapa pasukan permotoran sebelum ini, Hafizh Syahrin mengakui ini merupakan kali pertama beliau dapat menyertai sebuah pasukan yang diuruskan secara profesional dan tugasnya hanya perlu memberi fokus 100 peratus sebagai seorang pelumba.

 

Selain dikurniakan jentera Ducati Panigale V4R daripada pemilik JDT Racing Team, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Hafizh Syahrin turut teruja apabila menerima dua pakar berpengalaman iaitu Loris Caroli sebagai Ketua Krew JDT Racing Team dan Edoardo Ardemagni yang memainkan peranan sebagai mekanik utama.

 

Sementara itu, beliau turut berkongsi mengenai inspirasi Tunku Ismail mahukan pasukan JDT Racing Team ini menjadi satu pasukan permotoran yang berbeza daripada pasukan lain, selain pada masa sama perlu mengekalkan elemen profesionalisme serta mentaliti menang kerana membawa nama dan logo Johor Darul Ta’zim.

 

JDT Racing Team bakal memulakan saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 dengan enam perlumbaan yang bermula di Litar Antarabangsa Chang, Thailand dari 15 hingga 17 Mac ini.

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor