JETCO TERUS KOMITED BAWA PELABURAN KE JOHOR


Datuk Seri Hasni Mohammad berkata kepada pemberita ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Arena Larkin, di sini, hari ini.

 

JOHOR BAHRU — Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura terus komited dalam memainkan peranannya dalam usaha membawa masuk pelaburan ke negeri ini.

 

Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, beliau berkesempatan meninjau secara dekat mengenai hala tuju dan peranan JETCO di negara jiran.

 

Sempena lawatan berkenaan, beliau memberitahu telah mengaturkan dua syarikat Singapura yang berhasrat untuk membuat pelaburan di negeri ini.

 

“Saya percaya kedua-dua pelaburan ini amat penting kerana mereka berhasrat untuk menjadikan Johor pusat pengedaran utama untuk dua bidang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Arena Larkin, di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kedua-dua bidang berkenaan adalah fesyen dan peralatan industri minyak dan gas.

 

“Singapura hari ini mengetengahkan bakat-bakat yang menceburi bidang fesyen. Kalau mereka berhasrat menjadikan Johor ini sebagai pusat pengedaran utama di rantau Asia ini, itu adalah satu peluang yang baik.

 

“Keduanya, bila hab minyak dan gas di Pengerang ini mula beroperasi, maka kita perlulah laksanakan pelbagai pendekatan supaya pembekal peralatan berkaitan dengan indsutri minyak dan gas ini, mereka mula beroperasi di Johor. Kalau dulu mungkin oleh kerana dua tahun tertangguh.

 

“Selain daripada COVID, beberapa insiden di Pengerang itu sendiri, tetapi bila dah mula beroperasi ini, kita harap mereka yang awalnya berhasrat membuka perusahan mereka di Johor supaya niat mereka dapat diteruskan. Itu amat penting untuk masa depan Johor memandangkan pelaburan PETRONAS yang begitu besar di Pengerang,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan pembukaan pejabat JETCO di Singapura menterjemahkan keseriusan kerajaan negeri memperluaskan kolaborasi pelbagai bidang antara Negeri Johor dan Singapura.

 

“Khususnya dalam bidang teknologi hijau, bila kita bercakap soal perubahan iklim dan alam sekitar, Singapura jauh ke depan. Johor sewajarnya juga menjadi kawasan yang patut negara jiran singapura juga beri tumpuan.

 

“Tiada guna Singapura bercakap soal perubahan iklim, tapi kita tidak ada persamaan dari segi matlamat dan sasaran. Untuk itu, Johor ingin memperkukuhkan gerak kerja secara bersama dengan negara jiran,” katanya.

 

Penubuhan JETCO di Singapura bertujuan mempromosi Negeri Johor sebagai destinasi pelaburan, perdagangan, pelancongan dan kebudayaan bertaraf global.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor