KERAJAAN NEGERI PANDANG SERIUS FASILITI SEKOLAH AGAMA


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pihaknya juga sentiasa mengadakan pemantauan di sekolah agama termasuk di Sekolah Agama Sagil Kampung dan Sekolah Agama Sagil Kampung 2 yang dilaksanakan baru-baru ini. | Sumber foto: Facebook Mohd Fared Mohd Khalid.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sentiasa komited dalam menjaga kebajikan dan keperluan sekolah agama di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pihaknya juga sentiasa mengadakan pemantauan di sekolah agama termasuk di Sekolah Agama Sagil Kampung dan Sekolah Agama Sagil Kampung 2 yang dilaksanakan baru-baru ini.

 

Pemantauan yang diadakan adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri dalam menilai aduan yang telah diterima daripada kedua-dua pihak sekolah tersebut.

 

“JAINJ juga dah dimaklumkan mengenai keperluan ini (sekolah agama). Kemudahan asas (yang diperlukan) tidak boleh dikompromi, mesti ada dan selamat digunakan,” tegasnya dalam laman sosial Facebook rasminya.

 

Mohd Fared berkata menerusi tinjauan itu, pihaknya mendapati Sekolah Agama Sagil Kampung mengalami masalah pendawaian elektrik dan kebocoran paip di tandas murid di sekolah berkenaan.

 

Beliau berkata, sementara itu Sekolah Agama Sagil Kampung 2 pula menghadapi masalah kerosakan pendawaian yang mengganggu sesi pembelajaran berikutan kekangan penggunaan kipas di dalam kelas.

 

“Hal ini menyebabkan sekolah itu terpaksa menjalankan sistem penggiliran terhadap kehadiran murid ke sekolah berikutan hanya satu kelas yang dapat digunakan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P).

 

“Disebabkan dengan itu, pihak sekolah terpaksa mengadakan jadual penggiliran kehadiran murid-murid ke sekolah disebabkan isu ini,” katanya.

 

Justeru, dalam menangani isu ini, beliau berkata, JAINJ mengambil tindakan meluluskan peruntukan perbelanjaan kecemasan bagi tujuan baikpulih segera.

 

“Usaha baik pulih awal sudah diusahakan oleh pihak sekolah namun kurang tak berkesan, jadi kita (JAINJ) turun untuk pantau.

 

“Selagi isu ini tidak selesai, anak-anak kita akan rugi sebab terlepas jadual pembelajaran. Ada sebahagian anak-anak kita yang terpaksa bawa kipas kecil sendiri sebab keadaan panas dalam bilik darjah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor