KEROSAKAN LEBUHRAYA PASIR GUDANG, KERAJAAN JOHOR TUBUH ‘TASKFORCE’ KHAS


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengadakan perbincangan mewujudkan pasukan petugas khas bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), YB Dato’ Asman Shah Abdul Rahman | Sumber Foto Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas (Taskforce) sebagai langkah sementara dalam usaha menyelesaikan isu kerosakan Lebuhraya Pasir Gudang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata langkah proaktif ini diambil sementara menunggu kelulusan peruntukan dana daripada Kerajaan Persekutuan.

 

“Masalah kerosakan jalanraya di Lebuhraya Pasir Gudang mesti diselesaikan segera. Perjumpaan bersama Menteri Kerja Raya telah dibuat, perbincangan bersama barisan kepimpinan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah dilaksanakan dan permohonan peruntukan juga telah dimajukan.

 

“Sementara menunggu keputusan permohonan peruntukan bagi kerja pembaikan Lebuhraya Pasir Gudang ini diluluskan sebelum dapat dilaksanakan, kaedah pembaikan seperti penampalan lubang di atas permukaan jalan mesti dilakukan segera dengan kaedah tampalan yang tahan lama,” katanya di laman sosial Facebook rasminya, hari ini.

 

Mohamad Fazli berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga sudah bersetuju untuk memberi peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan berkenaan.

 

“Kaedah yang telah dipersetujui ialah kaedah ‘Hot In-Place Recycling’ (HIPR) yang mana dengan kaedah ini, lapisan permukaan yang rosak akan dipanaskan di lokasi kerosakan dan digunakan semula.

 

“Walaupun kebanyakan kerosakan di jalan ini disebabkan oleh kerosakan struktur asas tanah dan kaedah HIPR ini bukanlah penyelesaian tuntas, namun kaedah ini mampu bertahan lebih lama berbanding kaedah tampalan biasa,” katanya.

 

Ujarnya, beliau juga akan memantau gerak kerja pasukan petugas ini dari masa ke semasa agar kerja pembaikan disiapkan segera bagi menjamin keselamatan pengguna dan kenderaan agar tidak mengalami kerosakan.

 

Terdahulu, beliau telah mengadakan perbincangan mewujudkan pasukan petugas khas bagi menyelesaikan isu membabitkan kerosakan jalan bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), YB Dato’ Asman Shah Abdul Rahman serta Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Johor Bahru, Ir. Norzahamawaty Md Desa.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor