JOHOR AGRESIF PROMOSI TAHUN MELAWAT JOHOR 2026

Pameran Travel Malaysia Fair 2025 di Singapore EXPO yang bermula pada 2 hingga 4 Mei ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Singapura – Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura terus komited mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026 menerusi penyertaan dalam pameran Travel Malaysia Fair 2025 di Singapore EXPO bermula 2 hingga 4 Mei ini.
Penyertaan tersebut membuktikan kesungguhan untuk memperkenalkan produk pelancongan negeri kepada pasaran antarabangsa khususnya Singapura seterusnya mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di rantau ini.
Selain JETCO, pameran bertaraf antarabangsa itu turut disertai oleh jabatan dan agensi kerajaan lain serta pemain industri pelancongan iaitu Tourism Johor, Perbadanan Taman Negara Johor, Regency Specialist Hospital, Desaru Coast dan Amari Hotel Johor Bahru.
Antara produk pelancongan diketengahkan adalah destinasi menarik di setiap daerah, kekayaan biodiversiti dan alam semula jadi, rawatan perubatan berkualiti serta pelbagai pakej percutian menarik meliputi resort mewah, taman tema dan padang golf bertaraf antarabangsa.
Johor telah merekodkan ketibaan seramai 17.5 juta pelawat dari Singapura pada tahun lalu, yang meletakkan negara jiran sebagai penyumbang terbesar sektor pelancongan negeri sekali gus pameran disertai menjadi platform terbaik mengukuhkan pasaran sedia ada.
Terdahulu, YBhg. Puan Norliza Md Zain, Pengarah Tourism Malaysia (Singapura) selaku wakil rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura menyempurnakan perasmian pameran Travel Malaysia Fair 2025 di Singapore EXPO, hari ini. Turut hadir, YBhg. Encik Saifuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif JETCO.
#TravelMalaysiaFair
#VisitMalaysia2026
#VisitJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor