JOHOR BAKAL NEGERI PERTAMA MILIKI KERANGKA PEMBANGUNAN EKONOMI HALAL INKLUSIF

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan Johor sebagai negeri pertama mempunyai kerangka pembangunan ekonomi halal inklusif. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030 yang bakal meletakkan Johor sebagai negeri pertama mempunyai kerangka pembangunan ekonomi halal inklusif dijangka dilancarkan pada tahun ini.

 

Pelan yang sedang diperhalusi itu juga akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi halal seterusnya menjadi contoh pembangunan ekonomi Islamik progresif di Malaysia, jelas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

 

PKHNJ 2030 digubal untuk memperkasa ekosistem halal secara menyeluruh, bermula penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, penghasilan produk bertaraf global hingga pembinaan rangkaian keusahawanan tempatan yang kompetitif.

 

Selain itu, pelan berkenaan bakal menjadi pemangkin penting dalam menarik syarikat halal antarabangsa dan tempatan untuk beroperasi, berkembang serta berinovasi seiring dengan kehadiran banyak pelabur ke Johor menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Antara inisiatif utama dalam pelan itu adalah sasaran pendaftaran 500 syarikat halal setiap tahun, mempercepatkan proses pensijilan dan menawarkan insentif menyeluruh kepada syarikat serta usahawan tempatan agar mampu menembusi pasaran lebih luas.

 

Kerajaan Negeri bersama PIJ Holdings Sdn. Bhd., PIJ Halal Ventures Sdn. Bhd., Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan terus memperkukuh kerjasama bagi menyokong syarikat-syarikat yang telah berjaya supaya dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi melalui sokongan pelaburan serta pengembangan pasaran.

 

#IndustriHalal
#PKHNJ2030
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor