JOHOR BAKAL NIKMATI SISTEM PENGANGKUTAN AWAM KONDUSIF MENJELANG 2027


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh sewaktu melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Stulang Laut, Johor Bahru, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Rakyat Johor dijangka akan menikmati sistem pengangkutan awam yang kondusif dan lengkap menjelang tahun 2027.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, kerajaan negeri sentiasa meletakkan keutamaan bagi projek infra-rakyat.

 

“Tiga projek yang sedang berjalan ketika ini ialah projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru serta projek Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT).

 

“Apabila siap sepenuhnya projek berimpak tinggi seperti ini, sudah pasti rakyat Johor boleh menikmati jaringan pengangkutan awam yang kondusif demi keselesaan dan keselematan semua,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek RTS di Stulang Laut, semalam.

 

Beliau berkata, dengan pembinaan infrastruktur awam yang lengkap, negeri Johor kini berada di landasan tepat dalam usaha untuk mencapai sasaran menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Ketika ditanya mengenai pembinaan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini, Mohamad Fazli memberitahu, cadangan tersebut masih di peringkat kajian.

 

”Berkenaan dengan pembinaan LRT di negeri Johor, kerajaan telah menerima cadangan dan sedang menjalankan kajian yang terperinci.

 

“Namun, keutamaan buat masa ini adalah untuk memastikan ketiga-tiga projek yang sedang berjalan, dapat disiapkan mengikut jadual.” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor